Jumaat, 8 Februari 2019

Makan Malam dan Chill di Warung Badik2, Kota Bharu


Balik kampung wife aku di Kota Bharu tak akan lengkap kalau tak keluar jalan-jalan cari makan. Malam kelmarin adik ipar aku ajak pergi makan di Warung Badik-badik. Since adik ipar yang nak payung, aku dengan wife aku on jah. Perjalanan dari rumah mertua ke Warung Badik2 tak jauh pun, dalam 10 minit ke 15 minit sahaja. Restoran tu terletak di Jalan Pengkalan Chepa, menghala ke arah airport.
  
Masa mula-mula sampai, aku dengan wife agak konfius juga sebab nampak sign board Warung Badik2 tapi nampak restoran selepas signboard tu sendu saja. Rupa-rupanya, restoran dia sebelah belakang dan tersorok dek bangunan butik Soukha. Perghh… memang ramai pelanggan pula malam tu. First impression aku, tempat ni best untuk ‘hangout’ terutama sekali golongan muda.



Lokasi Badik2 yang agak tersorok dibelakang 
(masuk sebelah kiri yg ada pokok tu)

Menu dia simple saja, ada bihun atau kueh teow sup dengan tambahan isi ayam, telur ayam atau telur puyuh. Kalau bergoreng pula ada mee goreng biasa, pedas atau berapi. Air pula ada pilihan istimewa seperti smoothies dan ABK (ais batu koktail atau bingsoo). So, janganlah mengada-ngada nak order masakan thai atau western ye sebab memang menu dia terhad dan special sahaja.

Kami buat pilihan untuk order mee goreng pedas dan bihun sup ayam tambah. Minum pula kami order ABK, smoothies mango serta smoothies campur mango dan dragon fruit.

Antara yang kami order bihun isi ayam tambah, 
ada cili kicap kalau nak pedas

Sambil tu pekena smoothies mango - dragon fruit

Kami enjoy dinner kami malam tu. Nama pun sedap, sebab tu order untuk second round. Kali ini aku ‘gatal’ mintak mee goreng berapi sebab nak pedas lagi. Maklum lah, masakan Kelantan ni ada rasa manis-manis dan kurang pedas pada orang luar. Sampai saja mee goreng yang aku pesan, mak datuk cili dia… bertebaran dalam pinggan aku. Kata nak pedas sangat kan…. hahaha…

Mee goreng berapi... memang keluar api dari mulut aku

Apa pun makanannya yummy dan minuman pula umphhh. Ye lah, anak perempuan aku 7 tahun tu pun tambah satu mangkuk bihun lagi. Hebat kan?.... hehehe. Harganya pula tak mahal, semuanya sangat berpatutan.

Aku rekemen korang berkunjung ke tempat ni sebagai salah satu destinasi makan korang di Kota Bharu. Pendapat aku, korang akan enjoy makanan seperti bihun sup dan minuman yang disajikan seperti smoohies sambil chill bersama member-member atau keluarga.

So kalau korang nak ke sana, tempat ni dibuka pada jam 3 ptg hingga 11 malam.

Sekian untuk entry CARI MAKAN kali ini.

Ahad, 11 Jun 2017

10 Pengalaman Lucu Travel Ke Luar Negara Masa Bujang Yang Aku Lalui

Kadang-kadang aku teringat pengalaman lucu semasa beberapa kali travel ke Europe ketika aku bujang. Masa tu ada yang aku travel sorang-sorang jah, kena pula yang first time. Antara ‘blunders’ yang aku ingat;

Memori Travel


1. Semasa first time aku nak travel ke Jerman musim winter. Shopping baju sejuk kat sini untuk persiapan travel. Aku di rekomen beli baju sejuk oleh sales girl. Sebab aku tak pasti keadaan winter masa tu. Last-last aku beli jaket sejuk tebal dan besar yang nampak macam mascot Michelin..

2. Sesat masa first time nak ke ofis HQ di Hannover, Jerman. Sepatutnya naik ‘tramp’, tapi aku naik bas untuk ke sana. Aku tak tahu sampai ke mana bas tu bawa. Yang aku tahu sampai last bus stop. Nasib baik la ada mat saleh tolong tunjukkan bas mana nak patah balik ke pusat bandar. Dah la badan besar pakai ala rockers dan bertatu tapi baik orangnya.

3. Pernah travel masa dah masuk musim summer di Jerman. Aku pakai jaket sejuk tu juga. Bila pakai baju sejuk tadi ke ofis HQ di Hannover, rakan-rakan mat saleh gelak tengok aku. Agaknya diorang fikir aku tak boleh ‘tolerate’ cuaca sejuk Europe walaupun musim summer.

4. Cari kedai makan halal di sekitar Hannover sorang-sorang. Masuk dari satu lorong ke satu lorong. Masa tu mana ada waze. Tangan aku hanya ada buku panduan ‘interesting places to visit’ di bandar tu. Konon macam Rambo la main redah je. Aku sesat sampai ke satu tempat penuh dengan sarang pelacuran. Aku panik dan cepat-cepat cari jalan keluar sebab takut kena samun dengan brader bertatu. Kalau jadi apa-apa, tak ke malu berita sampai ke Malaysia yang aku dijumpai di kawasan tu. Tapi terasa macam ‘super star’ kejap la sambil lalu ada awek mat saleh melambai dan memanggil.

5. Masuk kedai hidangkan menu Turkish, aku ingat halal la makanan dia. Aku order kebab daging. Separuh makan aku jeling meja sebelah, satu group pelanggan tengah makan kebab sambil minum air beer. Oh nooo……

6. Waktu pergi ke Manchester sebab nak jumpa girlfriend (dah jadi bini pun) pakai jaket sejuk tu juga. Sekali kena bawa ke Primark untuk beli jaket sejuk yang semenggah sikit. Tak kena fesyen untuk dating lah tu.

7. Masa di airport Hannover nak balik ke Malaysia, jenuh aku cari pintu gate mana nak masuk. Mintak tolong pakcik Jerman tunjukkan. Dia mencarut apa aku tak paham. Rupa-rupanya aku tengok tiket flight untuk airport di Amsterdam. Mana lah ada nombor gate tu di airport Hannover….kahkahkah.

8. Budget aku burst! Tinggal coin 2 Euro jah dalam poket masa nak balik setelah tolak semua perbelanjaan. Yang ni isteri aku tau sebab apa.

9. Konon nak jimat tambang flight untuk ke Hannover dan Manchester aku pilih route yang jauh. Last sekali aku kena lalu 5 airport untuk pergi dan balik. Masa balik tu yang aku tak tahan sebab marathon daripada Manchester ke Hannover ke Copenhagen ke Bangkok sebelum tiba di KLIA. Aku rasa macam kena cabul je bila kena lalu security check 4 kali.

10. Semasa di Slovakia pula aku lupa nak tambah satu jam untuk pertukaran ke musim Spring. Jam aku tunjuk pukul 8 pagi walhal dah pukul 9 pagi. Lepas tu pula call teksi suruh datang ambil aku pukul 8 pagi… hahahaha.

Apa pun pada aku pengalaman tu semua mengajar aku membuka pemikiran, malah mematangkan kita. Bila next travel tu aku tahu lah serba sedikit apa yang perlu dibuat.

Pengalaman masa aku travel dengan wife aku Raihana pun ada juga. Tapi entry lain kali lah ye.

Memori travelling.

Ahad, 22 Januari 2017

4 Perkara Yang Mesti Dipertimbangkan bila boss janji nak ‘counter-offer’

Assalamualaikum dan salam sejahtera… Ini entry blog pertama aku untuk 2017 dan hari ini aku nak share sikit pengalaman kerja aku satu ketika dulu.

Aku teringat pada seorang rakan sekerja saya yang berasa sangat kecewa apabila dia dapat surat diberhentikan kerja semasa sekitar 2007. Malangnya, sebab syarikat memilih rakan aku serta ramai lagi pekerja bagi tujuan mengecilkan organisasi. Bila keadaan ekonomi tidak menentu serta pengurangan pengeluaran, memberhentikan pekerja secara selektif atau sukarela akan dilaksanakan oleh syarikat. Dia tak sangka yang dia akan menerima nasib tersebut walaupun dia ni bagus dalam kerja.

Tetapi isu rakan aku yang sebenarnya aku nak ketengahkan bukanlah pasal diberhentikan kerja, tetapi bila dia rasa tertipu dengan boss dia. Pada asalnya sahabat aku ni sudah pun meletakkan jawatan kerana mendapat tawaran kerja dengan gaji yang menarik ditempat lain. Disebabkan oleh janji bos ketika dalam sesi perbincangan, dia membuat keputusan untuk menarik balik suratnya. Pelbagai janji manis ditawarkan kepada dia seperti jaminan kenaikan gaji dan peluang dinaikkan pangkat sekiranya terus berkhidmat di bawah bossnya itu. Tetapi bila sudah kena macam ni, bossnya buat senyap sahaja.

Aku mula mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa rakan aku tu. Sepanjang kerjaya aku, sekiranya boss janji nak bagi macam-macam dengan aku, perkara berikut akan dipertimbangkan;

1. Tidak meletakkan kepercayaan pada janji boss seratus peratus sekiranya tiada surat hitam putih (offer letter lah). Kalau boss mula cakap pada saya nak bagi itu..ini…bla,bla,bla… aku lihat pada kredibiliti dan bidang kuasa dia. 

2. Lihat pada kredibiliti boss tersebut. Adakan seorang yang boleh dipegang kata-katanya? Dimana bidang kuasanya? Adakah apa yang dijanjikan akan mendapat endorsement dari pihak pengurusan dan HR? Jika samar-samar, fikirkan semula.

3. Sekiranya tawaran diluar terutama sekali gaji yang jauh lebih menarik berbanding dengan apa yang boss tawarkan kepada aku. Ada baiknya aku pertimbangkan untuk berhijrah. Tak kiralah department lain ke atau syarikat lain ke. Tak salah kalau aku nak meningkatkan lagi ekonomi aku sambil meluaskan lagi pengalaman kerja.

4. Aku akan terus kekal bekerja dijawatan yang diberikan oleh sebab komited serta kelebihan yang ada seperti banefit, budaya kerja dan sebagainya. Tetapi bukanlah disebabkan oleh boss janji bermacam-macam. Takut bila tidak ditunaikan, kita mula hilang motivasi bekerja.

Ada satu ketika aku telah ditawarkan untuk berpindah ke department lain, aku pernah menolak tawaran boss lama aku untuk terus bersamanya walaupun dia seorang yang sangat baik. Malah aku berasa terhutang budi pada segala tunjuk ajar daripada boss aku itu. Hanya sebab aku tidak yakin pada ‘counter-offer’ dan bidang kuasa yang ada pada dia masa tu. Jadi, aku memilih untuk berhijrah. 

Terus terang aku katakan pada ex-boss aku yang department baru aku mampu memberikan peluang untuk aku ‘progress’ dalam kerjaya dan mencapai impian yang diinginkan. Jadi, aku perlu meletakkan keutamaan pada diri aku untuk mencuba dan menolak perasaan serba salah. 

Akhirnya, dia terpaksa akur dan terima keputusan aku. Lagi pun, pada pandangan aku, boss yang bagus akan sentiasa pastikan kita maju kehadapan. Bukan ke begitu?....

Aku berharap ianya dapat memberi manfaat kepada anda semua.


Sekian….

Ahad, 14 Februari 2016

Kenangan bersiar-siar di sekitar bandar Glasgow, Scotland

Aku sepatutnya menulis di blog pasal pengalaman di Glasgow masa aku tinggal kat sana. 

Anyway, sebab yang tak dapat dielakkan (sama ada busy atau malas nak menaip pun ya), dah nak dekat sebulan aku balik Malaysia baru nak menaip semula. Apa pun, aku rasa masih belum terlambat untuk terus bercerita serba sedikit pengalaman aku di UK dan diselang-selikan dengan topik-topik lain.

Perbezaan ketara yang aku rasa semasa tinggal kat UK ialah cuaca yang sejuk. Tambahan lagi lokasi Glasgow yang lebih jauh ke utara UK. Kalau masuk musim winter jawabnya kena pakai baju tebal la. 

Tapi hari ni aku bukannya nak bercerita pasal cuaca, sebaliknya nak share pasal aku dan keluargaku berjalan sekitar bandar Glasgow. Untuk pengetahuan anda, bandar Glasgow diwar-warkan sebagai bandar terbesar di Scotland dan yang ketiga terbesar di UK.

Masa perjalanan dari rumah kami di Anniesland ke pusat bandar Glasgow mengambil masa lebih kurang dalam 40 minit dengan menaiki bas. Kami lebih selesa dengan Firstbus kerana ada banyak alternatif untuk ke bandar seperti 4A, 19 dan 19A yang lalu dihadapan rumah kami. 

Cuma frekuensi bas tak lah sekerap berbanding di Great Western Road. Malah kami kena berjalan dalam 5 minit untuk manaiki bas disana. Bas yang lalu di jalan tu adalah bernombor 6, 6A dan 6C. Cuma aku nasihatkan korang check jadual bas terbaru di Glasgow sebab jadualnya kadang kala ditukar.  Di bandar kami selalunya turun di Reinfield street sebab di sana ada banyak bas kalau nak ke destinasi lain.

Antara tempat menarik yang kami selalu sangat berkunjung adalah Buchanan Street dan Argyle Street, di mana lokasi untuk mereka yang suka bershopping. Ada banyak kedai, mall dan pasaraya di sepanjang jalan tersebut dan banyak barang branded dijual. Kalau tak ada duit nak berbelanja sakan, window shopping pun dah kira OK… kekeke


Ramai pengunjung pada hujung minggu

Habis aje menyinggah beberapa kedai dan shopping mall (hobi isteri saya), kami akan pergi ke restoran King untuk menikmati kebab dan pizza. Kedai tu terletak di Setakat ni tempat tu agak murah dan makanannya banyak berbanding restoran halal lain. Lagi pun, pilihan restoran halal adalah sangat terhad.


Pelbagai pilihan kedai untuk membeli belah




Kedai jenama Next

Selain tu, kami juga suka melepak kat George Square. Terdapat banyak manumen dan patung tokoh-tokoh ilmuan disini. Tempat ni selalu juga ada pelbagai aktiviti seperti perhimpunan untuk kemerdekaan Scotland, Christmas Market dan sebagainya.


Bergambar di George Square



Pandai depa buat lawak

Kadang-kadang kami akan ke Sungai Clyde untuk menikmati pemandangan bandar Glasgow dari arah sungai. Sungai tersebut dahulunya adalah penting untuk aktiviti perdagangan dan pembuatan kapal. Keindahan Sungai Clyde berlatar belakang bandar Glasgow adalah pengalaman yang sangat menyeronokan.

Setakat itu saja yang aku nak share. Memang ada banyak lagi tempat menarik di sekitar bandar Glasgow, walaupun tak sehebat London. Peluang untuk tinggal di Glasgow, Scotland selama setahun adalah kenangan manis yang tak dapat aku lupakan. 

Semoga ada rezeki nanti aku sekeluarga boleh melawat Glasgow semula.

Coretan Kenangan Travel

Shahrul Stryker

Khamis, 9 April 2015

Rumah sewa kami di Anniesland, Glasgow, Scotland

Sekarang sudah 7 bulan saya sekeluarga tinggal di Anniesland, Glasgow. Sebenarnya, kawasan ni bukanlah first choice kami sebab jaraknya agak jauh ke Business School kat University of Glasgow. Kami memilih untuk tinggal di Anniesland setelah selama dua minggu tak dapat cari rumah atau flat untuk di sewa dekat dengan uni sebaik sahaja tiba di bumi Glasgow pada awal bulan September 2014. Kebanyakan student Malaysia yang menyewa disini mengikuti pengajian di Veterinary School yang terletak di Anniesland.

Apa pun kami bersyukur sebab dapat menyewa rumah ni walaupun harga sewa £550 dan tanpa perabot agak mahal kalau dibandingkan dengan flat pada harga £450 di kawasan yang sama. Rumah yang kami sewa terletak di Fulton Street dan jenis rumah pula adalah Semi D dua tingkat (tetapi ala town house). Kami tinggal di ground floor dan tingkat atas pula didiami oleh jiran mat saleh. Rumah ni ada dua bilik tidur dan satu bilik air. Satu daripada bilik tidur kami gunakan untuk tetamu yang akan bermalam di rumah kami. Ruang tamu tak lah besar sangat sebab hanya muat satu sofa tiga tempat duduk, satu sofa dua tempat duduk, TV dan meja makan untuk 4 orang jika nak dibandingkan dengan rumah kami di Malaysia tapi sudah cukup selesa untuk kami bertiga. Ruang dapur pula ada kitchen cabinet, dilengkapi dengan dapur masak serta oven jenis gas, satu peti ais beku sais kecil (untuk simpan daging beku), satu peti ais biasa sais kecil dan mesin basuh.



                                                    Laman dan bahagian depan rumah
                                          Farmasi Boots, klinik GP dan juga perhentian bas


                                                Bersiar-siar di taman berhampiran rumah

Keseluruhan sistem pemanas rumah ini adalah jenis ‘gas central heating’ yang menggunakan boiler gas jenis lama. Air panas akan disimpan dalam tangki khas sebab boiler mengambil masa yang lama untuk memanaskan air. Tetapi sistem pemanas menggunakan gas dikatakan jauh lebih murah kalau nak dibandingkan dengan pemanas menggunakan elektrik.

Sebenarnya semasa kami pindah masuk, boiler tiba-tiba rosak. Nak basuh pinggan mangkuk atau tangan terpaksa lah hadap air sejuk. Nasib baik tuan rumah ni ada pasang electric water heater untuk mandi. Tetapi kalau nak pasang selalu pun sudah tentu bil elektrik jadi mahal nanti. Setelah kami mengadu kat agen dan tuan rumah, mereka aturkan technician daripada Scottish Gas untuk check keadaan boiler. Dipendekkan cerita, setelah persetujuan antara tuan rumah dan Scottish Gas, boiler kami ditukar kepada model baru. Unit boiler menggunakan gas yang baru ditukar untuk central heating kali ini adalah sangat efisyen sebab mengambil masa kurang dari seminit untuk panaskan air. Jadi tangki untuk simpan air panas tak diperlukan lagi. Akhirnya masalah kami selesai setelah lebih dari seminggu tinggal tanpa sistem pemanas. Nasib baik belum masuk musim sejuk, jadi boleh lah tahan sejuk lagi. 


                                                      Supermarket Morrisons berhampiran

Lokasi rumah kami pula berdepan dengan GP dan farmasi boots. Kalau nak jumpa doktor atau nak beli ubat, kami hanya berjalan kurang seminit sahaja untuk ke sana. Samalah juga kalau nak travel ke universiti atau bandar Glasgow, ada perhentian bas lagi kat depan rumah. Perjalanan dengan bas untuk ke universiti mengambil masa 20 minit, manakala untuk ke bandar mengambil masa 30 minit atau 40 minit. Paling best rumah kami berdekatan dengan supermarket Morrisons, Aldi dan M&S. Kami hanya berjalan tak sampai 10 minit untuk ke sana. Pelbagai barangan keperluan harian termasuk ikan dan sayur boleh didapati pada harga yang berpatutan. Cuma ayam dan daging halal tak dijual di Anniesland dan perlu travel jauh untuk dapatkannya. Jika nak ke Poundland pula, kami akan berjalan kurang dari 10 minit ke Anniesland Cross yang terletak di Great Western Road. Di sini adalah pekan yang juga terdapat pelbagai kedai runcit serta bank tetapi tiada satu pun restoran halal. Jadi kena banyak memasak kat rumah lah ye...

                                   Kawasan kedai Anniesland di Great Western Road dan ScotRail

Di sini tidak ada masalah untuk travel ke bandar atau sekitar Glasgow menggunakan pengangkutan awam kerana ada banyak bas dan teksi. Malah boleh juga naik ScotRail (keretapi) untuk ke bandar atau travel keluar dari Glasgow.

Bagi mereka yang bakal belajar di University of Glasgow dan mahu mencari rumah sewa kelak, bolehlah tinjau dan pertimbangkan kawasan Anniesland.
Setakat ini saja yang boleh saya share. Insyaallah saya akan terus berkongsi pengalaman saya dengan anda semua lagi.


Khamis, 1 Januari 2015

Menyambung Pelajaran Ke Luar Negara (Master): Pinjaman MARA 2014 – Part 6

Dah 4 bulan aku tak update blog nie. Macam-macam hal berlaku dalam perjalanan aku dan family untuk ke Glasgow. Kat ne aku stop?...Oh ya… aku stop menulis kat tunggu tawaran rasmi. Semasa awal bulan puasa tu (tak silap 5hb Julai) aku terima e-mail surat tawaran rasmi dari MARA. Nampaknya lagi sekali aku kena berhempas pulas untuk melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk tawaran rasmi. Dokumen yang dihantar MARA:

1. Surat tawaran
2. Lampiran A
3. Penyata Kewangan (Financial Statement)
4. Syarat & Peraturan Pinjaman MARA
5. Surat Perjanjian Pinjaman Pelajar
6. Surat Iringan Pinjaman Pelajar
7. Borang Payment Instructions (LPP06)
8. Borang Kemasukan Fail Induk Pelajar
9. Borang Letter of Consent
10. Borang Permohonan Tiket Penerbangan

Bab lengkapkan dokumen 1 tak susah sebab hanya perlu aku dan ibu atau bapa aku yang tandatangan (pastikan lima copy). Selepas itu buat jumlah copy yang sama juga untuk dokumen 2 dan lampirkan bersama setiap dokumen 1. So aku tunggu balik KL je nanti untuk lengkapkan bersama dokumen yang lain. Bab yang paling mencabar ialah nak dapatkan penjamin bagi pihak MARA bagi dokumen 4, 5 dan 6. Ibubapa dan adik beradik aku bukan lah bekerja tetap, hanya sekadar berniaga kecil-kecilan sahaja. Jadi, lebih meyakinkan kalau aku dapatkan penjamin yang bekerja. Kalau penjamin tu bekerja di swasta atau kerajaan, perlu ada pengesahan majikan dan tempoh masa yang diberi untuk lengkapkan borang dari kedua-dua penjamin sangat singkat (14 hari). Dalam kes aku nie, walaupun dah awal-awal lagi aku aturkan masa dengan saudara mara dan kawan-kawan aku, tapi nak dapatkan kerjasama dengan diorang tak lah senang. Masing-masing tak angkat telefon bila call berkali-kali. Mungkin diorang busy atau mungkin bergantung pada kesanggupan individu terbabit kot… tak nak komen lebih. Apa pun orang lain mungkin nasibnya berbeza….

Aku pun minta bapa dan adik aku jadi penjamin untuk pinjaman MARA serta menulis surat rasmi menyatakan pekerjaan dan gaji yang diterima. Bagi tujuan pengesahan dan saksi, ayah aku buat temujanji dengan JKKKP untuk membantu. Selang dua hari kemudian aku pun balik KL sebab nak settlekan semua dokumen tue. Dokumen 4 perlu ada satu salinan pelajar dan satu bagi setiap penjamin beserta surat pengesahan gaji dan salinan kad pengenalan. Manakala dokumen 5 dan 6 perlu ada lima salinan setiap dokumen. Keesokannya aku lengkapkan semua bahagian dokumen (1, 4, 5 dan 6) yang aku nyatakan tadi dan dapatkan tandatangan penjamin. Malamnya pula aku berjumpa dengan JKKKP untuk tandatangan saksi serta pengesahan surat-surat berkaitan. Settle satu bab….

Untuk melengkapkan dokumen tersebut, aku perlu dapatkan cop pesuruhjaya sumpah bagi dokumen 4 dan setem lembaga hasil untuk dokumen 5. So aku pun pegi la dapatkan cop tue pada hari berikutnya. Bayaran yang dikenakan untuk pesuruhjaya sumpah dalam RM 4 setiap dokumen manakala RM 10 untuk setiap dokumen perjanjian pinjaman. Aku lengkapkan dokumen 8 dan susun kesemua dokumen untuk dihantar mengikut arahan. Dokumen 7 dan 9 hanya perlu dihantar apabila tiba di luar negara. Manakala dokumen 10 dihantar jika mahukan MARA beli tiket flight. 

Aku buat keputusan untuk beli saja tiket flight dan claim MARA. Nanti aku jelaskan lebih lanjut dalam artikel berikutnya. Siap semua dokumen tu, pada 9hb Julai aku pun hantar ke HQ MARA di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. Bila hantar tu pastikan stepler atau binding dokumen 5 dan 6 sebab pegawai MARA akan reject kalau tak elok. Pegawai MARA semak dokumen aku satu persatu dan apabila berpuas hati, pegawai tu cop terima dokumen tersebut. Aku ambil gambar front page dokumen yang diterima pegawai untuk bukti penghantaran. 

Lepas nie boleh la ke proses seterusnya, nak apply visa dan tiket flight…

Selasa, 16 September 2014

Menyambung Pelajaran Ke Luar Negara (Master): Pinjaman MARA 2014 – Part 5

Malam tu juga aku call Glasgow Uni untuk follow up bila surat unconditional letter boleh dikeluarkan. Pihak uni bagitau aku yang dokumen perlu dimasukkan secara online. Aku ingat MABECS dah settlekan, rupa-rupanya mereka hanya hantar e-mail ke pihak uni. So aku pun kenalah upload sendiri dokumen tu. Pada masa yang sama aku hantar e-mail minta mereka hantar segera surat unconditional.

Pada hari Isnin minggu berikutnya (23 Jun 2014) pihak uni balas e-mail aku dan mereka masih hantar conditional offer letter yang mana yuran pengajian perlu diselesaikan. Aku konfius juga dengan surat nih dan kalau ikut pengalaman wife aku, surat tu kena jadi unconditional offer. Aku terpaksa call lagi sekali pihak uni untuk dapatkan penjelasan mereka. Diorang bagitau yang ada kesilapan dan surat akan dikeluarkan dengan segera. Aku tunggu la reply dari pihak uni sepanjang hari.

Bila dah nak masuk tengah malam waktu Malaysia, aku masih tak dapat apa-apa e-mail. Agak kalut juga sebab waktu pejabat tutup dah nak dekat kat UK. Dah tentu diorang malas nak layan sangat. Mula-mula call, diorang kata akan follow up dan bagi feedback kemudian. Kemudian aku call lagi sekali dan kali ni diorang layan sebab aku kata surat tu diperlukan urgent untuk secure sponsorship. Nasib baik la minah saleh ni layan aku walaupun dah nak habis waktu kerja. Alasan yang dia bagi pula adalah disebabkan oleh kesilapan dalam system. Aku sengaja pressure mereka supaya surat tu diperbetulkan dan dikeluarkan dengan segera. Hehehe…

Keesokan pagi (24 Jun 2014) aku dapat juga surat unconditional dari Glasgow uni. Aku compile kesemua dokumen yang diperlukan untuk dihantar semula ke MARA. Dokumen-dokumen disusun mengikut arahan dalam borang dan checklist. All set and ready to go!

Aku hantar tawaran bersyarat ke HQ MARA kat KL. Aku pastikan pegawai MARA semak satu persatu borang serta dokumen yang aku hantar dan cop terima pada dokumen tu. Selepas itu, aku ambil gambar dokumen yang telah dicop sebagai bukti terima. Pegawai MARA maklumkan kat aku yang tawaran rasmi akan dikeluarkan dalam tempoh 7 hingga 21 hari dari tarikh terima. Pada hari yang sama juga aku balik kampung wife aku kat KB. Kami nak sambut hari pertama puasa kat sana… yeehaa….

Bersambung part 6