Khamis, 1 Januari 2015

Menyambung Pelajaran Ke Luar Negara (Master): Pinjaman MARA 2014 – Part 6

Dah 4 bulan aku tak update blog nie. Macam-macam hal berlaku dalam perjalanan aku dan family untuk ke Glasgow. Kat ne aku stop?...Oh ya… aku stop menulis kat tunggu tawaran rasmi. Semasa awal bulan puasa tu (tak silap 5hb Julai) aku terima e-mail surat tawaran rasmi dari MARA. Nampaknya lagi sekali aku kena berhempas pulas untuk melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk tawaran rasmi. Dokumen yang dihantar MARA:

1. Surat tawaran
2. Lampiran A
3. Penyata Kewangan (Financial Statement)
4. Syarat & Peraturan Pinjaman MARA
5. Surat Perjanjian Pinjaman Pelajar
6. Surat Iringan Pinjaman Pelajar
7. Borang Payment Instructions (LPP06)
8. Borang Kemasukan Fail Induk Pelajar
9. Borang Letter of Consent
10. Borang Permohonan Tiket Penerbangan

Bab lengkapkan dokumen 1 tak susah sebab hanya perlu aku dan ibu atau bapa aku yang tandatangan (pastikan lima copy). Selepas itu buat jumlah copy yang sama juga untuk dokumen 2 dan lampirkan bersama setiap dokumen 1. So aku tunggu balik KL je nanti untuk lengkapkan bersama dokumen yang lain. Bab yang paling mencabar ialah nak dapatkan penjamin bagi pihak MARA bagi dokumen 4, 5 dan 6. Ibubapa dan adik beradik aku bukan lah bekerja tetap, hanya sekadar berniaga kecil-kecilan sahaja. Jadi, lebih meyakinkan kalau aku dapatkan penjamin yang bekerja. Kalau penjamin tu bekerja di swasta atau kerajaan, perlu ada pengesahan majikan dan tempoh masa yang diberi untuk lengkapkan borang dari kedua-dua penjamin sangat singkat (14 hari). Dalam kes aku nie, walaupun dah awal-awal lagi aku aturkan masa dengan saudara mara dan kawan-kawan aku, tapi nak dapatkan kerjasama dengan diorang tak lah senang. Masing-masing tak angkat telefon bila call berkali-kali. Mungkin diorang busy atau mungkin bergantung pada kesanggupan individu terbabit kot… tak nak komen lebih. Apa pun orang lain mungkin nasibnya berbeza….

Aku pun minta bapa dan adik aku jadi penjamin untuk pinjaman MARA serta menulis surat rasmi menyatakan pekerjaan dan gaji yang diterima. Bagi tujuan pengesahan dan saksi, ayah aku buat temujanji dengan JKKKP untuk membantu. Selang dua hari kemudian aku pun balik KL sebab nak settlekan semua dokumen tue. Dokumen 4 perlu ada satu salinan pelajar dan satu bagi setiap penjamin beserta surat pengesahan gaji dan salinan kad pengenalan. Manakala dokumen 5 dan 6 perlu ada lima salinan setiap dokumen. Keesokannya aku lengkapkan semua bahagian dokumen (1, 4, 5 dan 6) yang aku nyatakan tadi dan dapatkan tandatangan penjamin. Malamnya pula aku berjumpa dengan JKKKP untuk tandatangan saksi serta pengesahan surat-surat berkaitan. Settle satu bab….

Untuk melengkapkan dokumen tersebut, aku perlu dapatkan cop pesuruhjaya sumpah bagi dokumen 4 dan setem lembaga hasil untuk dokumen 5. So aku pun pegi la dapatkan cop tue pada hari berikutnya. Bayaran yang dikenakan untuk pesuruhjaya sumpah dalam RM 4 setiap dokumen manakala RM 10 untuk setiap dokumen perjanjian pinjaman. Aku lengkapkan dokumen 8 dan susun kesemua dokumen untuk dihantar mengikut arahan. Dokumen 7 dan 9 hanya perlu dihantar apabila tiba di luar negara. Manakala dokumen 10 dihantar jika mahukan MARA beli tiket flight. 

Aku buat keputusan untuk beli saja tiket flight dan claim MARA. Nanti aku jelaskan lebih lanjut dalam artikel berikutnya. Siap semua dokumen tu, pada 9hb Julai aku pun hantar ke HQ MARA di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. Bila hantar tu pastikan stepler atau binding dokumen 5 dan 6 sebab pegawai MARA akan reject kalau tak elok. Pegawai MARA semak dokumen aku satu persatu dan apabila berpuas hati, pegawai tu cop terima dokumen tersebut. Aku ambil gambar front page dokumen yang diterima pegawai untuk bukti penghantaran. 

Lepas nie boleh la ke proses seterusnya, nak apply visa dan tiket flight…